KANGAR: Budaya niaga masyarakat Cina yang menggalakkan persaingan berkonsepkan simbiosis atau saling melengkapi sewajarnya turut dikongsi oleh peniaga kaum lain, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah, konsep itu akan meningkatkan kecekapan, produktiviti, kemahiran dan kreativiti serta mewujudkan situasi ''menang-menang'' di kalangan mereka dan pelanggan.
"Peniaga juga perlu mengutamakan perniagaan yang boleh memberi keuntungan berterusan dan jangka panjang dan bukan mengambil jalan mudah untuk mendapatkan keuntungan yang tidak bertahan lama," titah baginda semasa melancarkan pasar malam Tahun Baru Cina di sini malam tadi.
Baginda bertitah, budaya niaga tanpa sempadan akan membuka ruang yang lebih luas dan menguntungkan kepada para peniaga Cina.
Sempena pelancaran itu, baginda turut meninjau kegiatan perniagaan di pasar malam itu yang diadakan sempena perayaan Tahun Baru Cina.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perlis, Dr Por Choo Chor dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Rosley Mat. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan